Khamis, 15 November 2012

Makanan Seimbang – Betulkah Pilihan Kita?


Piramid makanan seimbang seharusnya menjadi sumber rujukan untuk menentukan makanan seimbang yang perlu diambil seseorang. Namun jika kita kumpulkan semua makanan yang biasa diambil oleh orang ramai, agaknya tak banyak variasi makanan yang diambil – mungkin sekitar 12 jenis aje.
Kalau diperhatikan, hari-hari kita makan makanan yang hampir sama – sepanjang hidup kita. Tak banyak variasi, justeru tidak hairan jika kita menghadapi berbagai masalah kesihatan. Walau pun seseorang itu kurang arif tentang makanan seimbang, kebarangkalian untuk mendapat kurang zat makanan adalah rendah jika beliau memakan buah-buahan dan sayur-sayuran dari pelbagai warna; ungu, hijau, oren dan sebagainya berbanding dengan hanya mengambil sejenis makanan.
Apa yang saya ingin sampaikan adalah semakin banyak variasi atau jenis makanan yang diambil semakin tinggi kebarangkalian mendapat zat yang diperlukan tubuh. Jika bajet menjadi isu, seseorang perlu mendapatkan maklumat mengenai zat makanan yang diperlukan (protein, lemak sihat, karbohidrat, vitamin dan mineral). Apabila membeli makanan di pasar atau pasaraya, pilihlah makanan yang tinggi kandungan zat atau nutrien. Jika membeli makanan yang sudah diproses, baca maklumat nutrien yang tercatat di pembalut atau bungkusannya.
Menyedari kesedaran orang ramai terhadap keperluan makanan seimbang yang semakin meningkat, restoran-restoran termasuk rangkaian restoran makanan segera mula menawarkan makanan yang lebih berzat di restoran mereka. Berbekalkan ilmu mengenai pemakanan seimbang, kita mampu membuat pilihan bijak bila berkunjung ke restoran berkenaan.



piramid makanan seimbang

Doktor menyuruh kita mengamalkan makanan seimbang dan bersenam untuk kekalkan kesihatan atau mengembalikan kesihatan kita yang sudah terjejas. Kita perlu mengambil makanan seimbang agar kita mendapat zat-zat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita untuk kekalkan kesihatan atau memulih tahap kesihatan yang sudah menurun atau terjejas.
Dapatkan kita mengamalkan pemakanan atau diet seimbang seperti yang disarankan?
Saya cuba analisa pola pemakanan saya semasa hari berkerja untuk tengok sama ada saya dapat memenuhi keperluan tersebut:
Sarapan: Nasi/bihun goreng + telor goreng/ayam goreng atau nasi lemak dengan telor goreng/kerang/paru-paru goreng/sotong/sambal ikan bilis.
Makan tengahari: Nasi dengan satu jenis sayur + 1 ekor ikan/1 ketul ayam/1 senduk daging. Buah? Selalunya tidak dijual dikantin, kalau nasib dapatlah tembikai, betik, nenas atau tembikai susu. Kalau ada, ambillah sepotong.
Makan malam di rumah, tiada banyak bezanya. Nasi bersama satu/dua jenis lauk dan satu jenis sayur. Kadang-kadang tak da sayur.


Nampaknya pola pemakanan harian saya tidak memenuhi keperluan pemakanan seimbang. Saudara/ri camner?
Menurut garis panduan pemakanan Kementerian Kesihatan (rujuk grafik piramid makanan di atas), kita perlu makan 4-8 hidangan bijirin seperti nasi, gandum, jagung. Boleh juga ambil ubi. Sekurang-kurangnya setengah dari bijirin yang diambil mestilah bijirin penuh; kalau nasi – beras coklat, kalau roti – dari gandum penuh. Nasihat KKM, bila masak nasi, campurkan beras putih dengan beras coklat 50-50. Kalau tak nak, 50% dari karbohidrat kita mestilah dari roti/makanan yang diperbuat dari gandum penuh.
Kita juga kena ambil sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran atau 2 hidangan buah-buahan. Makanan ini dikaitkan dengan pengurangan risiko mendapat diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kanser. Garis panduan tersebut juga menasihatkan kita supaya mengambil daging, makanan laut dan ikan secara sederhana. kita dinasihatkan supaya lebih memakan ikan. Hasil tenusu – 1 hingga 3 hidangan sehari.
Garam, gula, minyak dan lemak? Semua orang tahu, kena kurangkan. Tapi kalau dah makan kat luar (kat warung atau restoranlah), banyak mana mereka taruh manalah kita tau. Yang pasti, bukan sedikitlah.
Dapatkah kita penuhi keperluan pemakanan seimbang? Kalau hari-hari makan di kantin tempat kerja, atau makan kat luar, nampaknya tak dapatlah. Kenalah bawa bekal dari rumah. Kalau tak boleh juga penuhi keperluan makanan seimbang, dan masih ingin kekalkan kesihatan yang unggul, kenalah ambil pemakanan tambahan.

Sumber grafik: Kementerian Kesihatan Malaysia
www.nutrition.moh.gov.my


Tiada ulasan:

Catat Ulasan